Kajian Penyembelihan M'ikut Kaedah Islam

Monday, October 23, 2006

kajian.. sains bukti sembelihan islam kaedah terbaik....



Umat Islam akan menyambut Aidiladha esok ketika masyarakat bukan Islam di Barat terus mempersoalkan mengapa Islam membenarkan perbuatan kejam dan ganas terhadap haiwan.

Barat termasuk aktivis hak asasi haiwan menganggap perbuatan menyembelih haiwan yang dilakukan umat Islam mempamerkan sikap tidak berperikemanusiaan kerana banyak darah tertumpah ke bumi terutama ketika amalan korban pada Aidiladha.

Malah, ketika kempen keganasan sibuk dilancarkan oleh Barat, mereka menggunakan alasan amalan korban ini sebagai satu daripada hujah mereka bagi membuktikan betapa Islam mengajar umatnya menjadi ganas.

Di Barat, undang-undang mereka memperuntukkan supaya haiwan dikenakan kejutan elektrik di kepala sebelum dibunuh, kononnya bagi memastikan haiwan itu pengsan terlebih dulu sebelum ia dibunuh.

Selain itu, kononnya tindakan mereka itu bertujuan untuk menghalang binatang berasa sakit sebelum ia mati.

Tetapi sekali lagi apakah pandangan Barat ini benar?

Pendirian Islam mengenai apa yang boleh dimakan dan apa yang diharamkan adalah jelas terutama membabitkan daging.

Dalam Surah al-Maidah ayat 5, Allah menyatakan:

“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala.â€‌ (Tafsir al-Rahman, Jakim).

Selain itu, Islam juga mengharamkan memakan daging haiwan tanpa disembelih seperti mencucuk leher, menghempap dengan batu atau cara selain daripada sembelihan.

Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan pisau tajam bagi memotong bahagian leher untuk memutuskan dua urat utama atau urat mareh. Kaedah ini dikaji pakar Jerman.

Pakar itu, Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr Hazim di Sekolah Perubatan Veterinar, Universiti Hannover, Jerman, mencari kaedah terbaik proses mematikan haiwan bagi mendapatkan daging yang bersih dan segar.

Kajian itu bertajuk, `Cubaan untuk mengesan kesakitan dan rasa sedar mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu atau kambing’, menyimpulkan kaedah Islam terbaik kerana lebih berperikemanusiaan.

Mereka menyimpulkan bahawa amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan sebelum dibunuh seperti yang diamalkan oleh Barat, mendatangkan kesakitan yang amat sangat pada haiwan.

Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat pada otak haiwan. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas dan haiwan terbabit dibiarkan untuk pulih selama beberapa minggu.

Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah Islam menggunakan tindakan pantas, memotong urat leher dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh mengikut kaedah barat menggunakan Pistol Kejutan (CBP).

Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalograph (EEG) dan electrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan terbabit ketika proses penyembelihan dan kaedah CBP.

Hasil ujian mendapati menurut kaedah Islam, tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan.

Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit.

Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan.

Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan.

Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu.

Bagaimanapun, ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat sakit pada haiwan itu.

Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang disembelih. Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat untuk dimakan.

Kajian terbaru juga menunjukkan kaedah mematikan haiwan yang digunakan oleh Barat dan bukan Islam, turut dikatakan menjadi punca kepada penularan wabak penyakit lembu gila daripada haiwan kepada manusia.

Kaitan ini didedahkan menerusi kajian yang dijalankan oleh Universiti Texas A&M dan Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada. Ia menyatakan, kaedah kejutan pneumatik (iaitu menembak bola besi ke otak lembu diikuti dengan mengenakan tekanan udara tinggi) menyebabkan kerosakan tisu otak serta saraf tunjang haiwan itu.

Laporan ini amat menggemparkan kerana tisu otak dan saraf tunjang adalah bahagian yang paling terjejas teruk kerana dijangkiti penyakit lembu gila dan apabila ia hancur akibat kaedah berkenaan, bakteria serta protein penyakit lembu gila akan merebak ke daging.

Malah, lebih menggemparkan, kaedah ini digunakan ke atas 30 hingga 40 peratus lembu yang dimatikan untuk diambil dagingnya di Amerika Syarikat.

Malah, kajian lain yang dijalankan di seluruh dunia juga mendapati daging menjadi lebih lembut berbanding daging yang tidak disembelih menurut Islam seperti ujian yang dijalankan ke atas ayam sembelih dan tidak sembelih.

Kajian terbabit jelas membuktikan bahawa penyembelihan menurut kaedah Islam adalah cara yang terbaik bukan saja untuk kebaikan haiwan itu sendiri tetapi juga memberi manfaat kesihatan kepada manusia.

Selain itu, Islam mengenakan beberapa langkah lain bagi memastikan penyembelihan ini dapat disempurnakan dengan lebih baik.

Dalam aspek ini, Nabi Muhammad SAW pernah mengarahkan supaya sentiasa belas kasihan terhadap haiwan dengan memastikan pisau yang digunakan benar-benar tajam bagi mengurangkan rasa sakit.

Islam menjelaskan, proses menyembelih perlu dilakukan dengan pantas bagi memutuskan salur darah ke saraf otak kerana saraf ini yang menghantar mesej kesakitan kepada otak.

Dengan itu, haiwan tidak akan berasa sakit ketika disembelih. Pergerakan dan kekejangan yang berlaku selepas haiwan itu disembelih, bukan akibat kesakitan tetapi akibat denyutan diikuti keadaan tenang.

Proses itu menyebabkan darah dikeluarkan dari badan sepenuhnya, kata Dr Aisha El-Awady, yang menulis dalam Islamonline pada 2003.

Selain itu, Sunnah Nabi Muhammad SAW juga menegaskan, adalah tidak wajar seseorang penyembelih, menajamkan pisaunya di depan haiwan yang akan disembelih atau menyembelih seekor haiwan itu di depan haiwan lain.

Menjelaskan lagi proses penyembelihan Islam, Dr Aisha menyatakan, kaedah Islam juga memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang.

“Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih.

“Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung akan rosak menyebabkan jantung terhenti dan darah akan terkumpul di dalam daging. Darah perlu dikeluarkan sepenuhnya sebelum kepala dicerahkan. Keadaan ini akan membersihkan daging itu kerana darah bertindak sebagai perantara kepada mikro organisma,â€‌ kata Aisha dalam kajiannya.

Dengan bukti ini, seharusnya aktivis hak asasi Barat berkempen supaya menggunakan kaedah Islam ketika proses penyembelihan serta mensasarkan kecaman mereka terhadap kaedah selain daripada Islam yang terbukti kejam dan tidak berperikemanusiaan..wassalam..

Perkara Y' Bleh Menyebabkab Murtad

Sunday, October 15, 2006


Perkara-perkara Yang Boleh Menyebabkan Murtad
Oleh Majlis Fatwa Kebangsaan

a) Perkataan
Sebarang perkataan yang jelas boleh membawa kepada kufur adalah dihukum kufur (riddah) orang yang mengucapkannya.

Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 65 dan 66 :
Yang bermaksud : “Patutkah nama Allah dan ayatNya serta Rasul Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya? Janganlah kamu berdalih (dengan alas an-alasan yang dusta), (kerana) sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman..”.

Di antara contoh-contoh perkataan yang membawa kepada kufur adalah seperti berikut :

1. Engkar sesuatu yang diketahui daripada agama (islam) secara darurat seperti mengengkari keesaan Allah, kewujudan Malaikat, Kenabian Nabi Muhammad S.A.W dan seumpamanya.
2. Menghalalkan apa yang diharamkan secara ijma’.
3. Mengharamkan apa yang dihalalkan secara ijma’.
4. Mencela Nabi Muhammad S.A.W atau Nabi-nabi lain atau mengejek mereka.
5. Mencela agama Islam, menghina al-Quran dan as-Sunnah dan tidak beramal dengan keduanya.
6. Mendakwa wahyu turun kepadanya.
7. Merendah-rendahkan nama Allah dan perintah Nya.

B.) Perbuatan
Di antara perbuatan yang boleh membawa kepada riddah ialah :
1. Mencampakkan Mashaf al-Quran atau Kitab Hadis Rasulullah S.A.W ke tempat-tempat kotor dengan tujuan menghina.
2. Sujud kepada makhluk seperti berhala, matahari, bulan dan sebagainya.
3. Tidak mengamalkan hokum-hukum al-Quran dan as-Sunnah kerana menggangapnya tidak sesuai dengan zaman sekarang.

c) Niat
Contohnya ialah seperti berazam untuk kafir pada hari esok atau teragak-agak untuk melakukannya. Niat seperti itu menyebabkan orang itu kufur ketika itu juga.

Syarat-syarat Sah Seseorang Dikira Murtad

Para Ulama’ bersepakat meletakkan dua syarat bagi mengesahkan seseorang Islam dikira murtad.
i) Berakal tidak sah murtad orang gila dan kanak-kanak.
ii) Pilihan sendiri atau sukarela. Tidak sah murtad orang yang dipaksa sedangkan hatinya masih beriman

Luahan S'org Rakyat

Zaman jahiliyah kembali semula? PDF
Fri | Sep 29, 06 | 11:51:14 AM
Oleh Enaisnor mujahidah

alaysia atau dunia sekarang seolah-olah berputar semula kebelakang walau pun era sekarang terus menerus mengejar kemajuan seperti seolah-olah hendak menggapai 2020. Nah.. sekarang manusia semakin moden, segala-galanya semakin canggih, teknologinya meninggi langit, anak mudanya lepasan IPT, apalagi yang hendak dirisaukan.

Wawasan 2020 impian mantan Perdana Menteri sebelum Pak Lah Hadhari hampir menjadi kenyataan. Tapi sayang berjuta kali sayang, masyarakat semakin moden tetapi iman semakin nipis atau mungkin akal semakin kurang berfikir.

Kalau dulu-dulu seingat-ingat penulis, semasa penulis masih di alam kanak-kanak amalan bersanding menjadi agenda wajib di dalam majlis perkahwinan. Orang ramai sanggup menanti majlis persandingan walau pun dibuat diwaktu malam. Mak cik-mak cik masing-masing membawa "torchlight" untuk menyuluh jalan. Meriah dirasakan semasa itu, lebih-lebih lagi kalau dihiasi dengan ghazal parti atau kugiran.

Bila amalan itu semakin berleluasa, maka tampillah Tok-tok guru serta ustaz-ustaz menegur amalan yang tidak dibenarkan dalam dalam Islam itu.

Alhamdullillah, semakin kurang dan hampir-hampir pupus amalan bersanding di dalam masyarakat kita. Tapi sayang sejuta kali sayang hanya seketika. Kalau kita semua sedar, amalan bersanding sudah mula diperbaharui sekarang ini.

Rata-rata kenduri walimah kini ada menyediakan pelamin dan tentunyalah majlis persandingan itu diadakan. Cuma sekarang ini di "up date" kan dengan trend bertudung.

Hulamak.. semakin ayu dan cantik, bertudung paras dada, dihiasi labuci-labuci berkilau-kilauan, mukanya ditempel dengan warna yang berwarna-warni. "Hai ! kenapa tak boleh pula, kan pengantin perempuan tu.. pakai tudung dan kaum keluarga sahaja yang tengok" bentak seorang perempuan separuh umur bila perbuatan itu ditegur. Hai...mak cik, tak sedarkah, anak mak cik tu walau bertudung tapi bertabaruj, duduk atas pelamin ditontoni kaum keluarga.. berapa orang sangat muhrim si pengantin perempuan tu yang nak "langut" mereka bersanding.

Jadi.. siapa yang nak tengok, melainkan orang-orang yang tidak bekenaan yang akan melihat keayuan pengantin perempuan itu. Bukan setakat itu saja malah sekarang ini majlis kenduri dihiasi dengan lagu-lagu yang melalaikan dengan alasan untuk menceriakan suasana. Wajarkah kita menghalalkan sesuatu yang semakin hampir dengan haram itu berterusan ?

Tuan-tuan guru serta Ustaz-ustaz sekelian, tolonglah ambil perhatian perkara ini, kalau dibiarkan penulis bimbang jahiliyah yang dulu kembali semula dengan secara di " up date"kan mengikut selera masyarakat sekarang.

Adakah dengan hanya pengantin berada di dalam rumah , menutup aurat dengan sempurna, tanpa bersolek, melayan tetamu yang datang maka majlis itu tidak lengkap atau meriah? Jangan kita menyebut "sekali seumur hudup", maka kita harus fikir kalau sepanjang kehidupan kita, kita boleh menjaga syariat Islam kenapa hanya dengan sehari semuanya tergadai.

Seperkara lagi yang penulis ingin ketengahkan ialah mengenai iklan-iklan ditelevisyen yang semakin menjolok mata dan tidak beradab. Contohnya iklan syampu "head and Shoulder" yang terang-terang memperlihatkan kita adegan berasmara sepasang remaja.

Begitu juga iklan -iklan lain yang menonjolkan pergaulan bebas dan keseronokan hidup walau pun hanya iklan jenama coklat. Apakah itu realiti kehidupan remaja kita sekarang ini? Kementerian penerangan perlu ambil perhatian dalam masalah ini kerana kita bimbang corak kehidupan yang dipaparkan mempengaruhi kehidupan remaja kita sekali gus mengundang amalan jahiliyah dihidupkan semula.

Kemasukan filem-filem dari Indonesia yang memperagakan kehidupan yang tidak selari dengan Islam diperlihatkan di kaca televisyen kita. Penulis merasakan seolah-olah perkara sedemikian sengaja diwujudkan demi sebuah kehidupan yang moden.

Penulis bimbang kalau perkara sedemikian dianggap remeh, bala dari Allah akan tiba barulah kita terbeliak biji mata melihat kemungkaran itu kerana bukan perkara yang disentuh oleh penulis sahaja yang berlaku sekarang ini tetapi banyak lagi perkara-perkara mungkar yang seolah-olah mendapat lesen halal untuk melakukan.

Bangunlah dari lena wahai pemimpin Malaysia, jangan hanya sibuk memikirkan laba, membesarkan rumah, membina mahligai perniagaan, berseronok dengan pangkat dan harta, mana dia Islam Hadharimu? Atau mungkin semuanya ini atas restu kalian semua?

Ya.. Allah! selamatkan bumi Malaysia ini dari tangan-tangan jijik yang mengotorkan bumimu yang suci kerana kami bimbang bala dariMu yang datang mencucinya. Fikir-fikirkanlah..