Surat Dari Ayie

Thursday, November 30, 2006


Menemui bonda yang sentiasa ada dalam ingatanku, tidurku, baringku dan dari setiap detik jaga.

Ibu, Hari ini sudah masuk hari ke lima belas kita berpuasa. Seperti petang-petang yang lalu, seketul nasi, sejari ikan, sejirus kuah dan sedikit kangkung ditolak ke kamar saya. Bu, petang ini saya sudah tidak dapat lagi menerimanya. . Maafkan saya. Dengan terawih yang cicir dan fardhu Jumaat yang entah beratus kali sudah dinafikan saya untuk menunaikannya, hati saya sudah semakin sebak. Rabu dan Khamis, Khamis atau Jumaat; SAMA. Minggu ini atau minggu depan, sudah hampir tidak ada bedanya bagi saya. Gelap terang yang silih berganti tidak membawa apa-apa erti lagi buat saya.

Bu, Apa khabar anak saya Is agaknya? Tentu dia sudah petah dan boleh berlari agaknya. Sewaktu kami dipisahkan di malam sayu 5 tahun lalu saya masih ingat Is yang baru berusia 5 tahun ketika itu. Saya masih terdengar raungannya Bu, sampai ke hari ini. Bersekolah di mana agaknya dia, Bu? Tentunya sudah di darjah empat? Bu hantar dia ke kelas Fardhu Ain Bu. Jangan lupa ke kelas Al-Quran. Bu sembahyang puasanya, aqidahnya. Saya tidak pastilah, perlukah dia menjadi saya atau tidak menjadi saya. Yang penting, dia perlu bekalan agama secukup-cukupnya. Dia tidak boleh sekali-kali menjadi seorang yang zalim jika berkuasa.

Aisyah masih kecil. Dia tidak tahu apa-apa. Barangkali sudah berusia 6 tahun agaknya. Comelkah dia Bu? Seiras Raihana atau mirip wajah saya?

Mengenai beban tanggungan untuk nafkah Raihana dan anak-anak, bil elektrik, air, sewa rumah, yuran sekolah, makan minum, terus berhutanglah kepada Pak Usu jika wang simpanan saya itu sudah kehabisan. Jika Pak Usu sudah keberatan dan katakan sudah terdesak sangatlah, maka jual sajalah atau gadai sajalah tanah getah seekar; itu satu-satunya pemberian aruah ayah itu kepada Pak Usu. Gunakan wang itu secara berjimat-jimat seketiadaan saya.

Bu,
Apa pula khabar Raihana sendiri? Tentu dia dalam kelukaan yang berat. Saya tahu betapa lukanya membesarkan anak-anak tanpa saya. . Mengurus serba serbi tanpa saya. Dalam pertemuan akhir kami 8 bulan yang lalu, saya sempat memberitahunya untuk ke Pejabat Kadhi sajalah dan lupakan saja saya. InsyaAllah biar seberat mana sekalipun, saya akan rela melepaskannya jika keadaan sudah terpaksa. Saya tidak mahu terus berdosa; menyiksa Ana terus menerus.

Apa yang hanya ada pada saya adalah harapan. Harapan agar saya dibawa ke mahkamah untuk diadili atau jika tiada bukti maka mereka wajib melepaskan saya! Tetapi Bu, peraturan zalim ini tidak pernah bersimpati dengan orang-orang seperti saya. Dalam keadaan semakin gelapnya lorong ke hadapan, Raihana perlu terima pilihan yang genting ini sama ada masih rela menunggu saya yang entahkan bila atau .. saya. . rela melepaskan dia dan kami… Aaah! Bu betapa beratnya beban penderitaan ini hanya Tuhan sajalah yang Maha Mengetahuinya.

Bu,
Adapun keadaan kesihatan saya, entahlah. Akhir-akhir ini saya semakin tidak berselera. Berat badan saya makin menurun. . Saya melalui Ramadhan pada tahun ini dalam keadaan yang semakin uzur. Batuk saya makin menjadi. Saya sering menggeletar khususnya dipenghujung pagi. Tapi saya gagahkan juga Bu, bertahajud setiap malam untuk berdoa kepada Allah agar segera membebaskan saya dari suasana kezaliman ini.

Bu,
Entah kenapa hati saya menjadi semakin rindu dan pilu mengingatkan ibu dan keluarga. Jika boleh, Ibu tolong ambil gambar ibu bersama Raihana dengan anak-anak saya itu. Suruhlah Mutaqqin atau Fatihah mengambilnya. Pinjam kamera Pak Ya sekejap. Ambil gambar dengan baju paling baru Hari Raya. Ambillah di tepi tangga rumah kita itu. Saya benar-benar mahu simpan buat kenangan, jika boleh buat selama-lamanya. Takdirnya sempat nanti, bawalah ke penjara atau simpan sajalah jika Allah S.W.T akan menentukan sesuatu yang sebaliknya.

Bu,
Doakan Ayi. Bu, tidak siapa sebenarnya yang dapat menyelami segala derita dan kepayahan ini melainkan saya. Allah ya Allah.. Ya Tuhanku tolonglah saya. Usunglah saya keluar dari palang tak berpintu ini. Saya sudah tidak mampu dan hampir hilang segala daya dan upaya.

Ayi anak bonda

anbakri
11 Ramadhan 1427
4 Oktober 2006.

P/S:Dapatkan Album Di Palang Ini dari La Khauf