Surat Buat Kekasih

Thursday, February 17, 2011

Tangisan yang kadangnya tak mampu mengalirkan airmata. Namun sebaknya terus menggetar jiwa lalu jasad kaku daripada berbicara , semuanya lantaran rindu pada kekasih yang telah lama pergi menemui Sang Pencipta.

Ya Rasulullah…..

Aku adalah di kalangan ummat-Mu yang begitu jauh dinisbahkan kepada putaran masa kehidupan. Berkurun lama sekalian manusia yang hadir selepas pemergianmu turut merasa seksa memikul cinta terhadapmu , menderita dek rindu yang begitu tebal yang tak akan berakhir melainkan pada hari pertemuan denganmu.

Ya Rasulullah…

Aku adalah salah seorang daripada ummat-Mu yang merasa sengsara berada di tengah masyarakat dunia tanpa Engkau di sisi. Aku manusia hina yang menggelar diri sebagai pejuang agama kerana itu wasiatmu padaku. Aku manusia yang penuh dosa, sungguhpun aku tidak layak untuk menyatakan cintaku padaMu ya Rasulallah… Tapi jauh dari sudut hati ini seolah aku ingin menjerit menyuarakan "Aku benar-benar merinduiMu.."

Ya Rasulallah…

Aku pengikutmu yang menyatakan iman…tapi aku sangat jauh dari landasan iman yang sebenar. Amat sedikit amalanku menuruti sunnahmu. Kadang hariku berlalu tanpa berzikir mengingatimu. Sedangkan Engkau ya Rasulallah, mengingati ummat-Mu walaupun di saat kematian. Engkau mengalirkan air mata tatkala mengingati kami ummat akhir zaman.

Ya Rasulallah…

Tidak sepatutnya aku yang menyintai-Mu lupa akan-Mu…

Aku mungkin tidak benar-benar mengerti perasaan Bilal tikamana meninggalkan Madinah kerana tidak sanggup menahan rindu yang mencengkam jiwanya..Aku juga tak mungkin dapat menangis sebagaimana para sahabat meratap pemergian-Mu..dan tak bisa untuk aku berkorban jiwa ragaku sebagaimana golongan muhajirin dan ansar itu mempertaruhkan jasad mereka untuk menjadi santapan pedang-pedang musyrikin.

Aku cuba untuk menjadi seperti mereka…Aku cuba meraih cinta-Mu. Aku cuba menyambut salam rindu dari-Mu.. aku cuba mempertaruh jiwaku untuk meneruskan perjuangan-Mu…Aku cuba menuruti apa kemahuan-Mu...dan harapanku Cuma satu.. iaitu aku dapat bertemu dengan-MU…aku dapat bertemu dengan insan yang benar-benar aku rindu, melebihi rinduku pada kedua ibu bapaku, melebihi rinduku pada teman hidupku, melebihi rinduku pada sahabat-sahabatku….

Ya Rasulallah…

Aku insan yang banyak dosa terhadap kekasih-Mu…Kerapkali aku memohon ampun tapi jawapannya masih belum kunjung tiba. Setelah aku mendapat sedikit ilmu, barulah aku tahu bahawa jiwaku belum benar-benar memohon ampun dan bertaubat pada-Nya. Dia juga memperlihatkan padaku ayat-Nya yang bermaksud :

" Katakanlah wahai Muhammad ; Sekiranya kamu menyintai Allah maka ikutilah aku nescaya Allah akan menyintai kamu…"

Dan Engkau Ya Rasulallah…Engkau wasilah cintaku pada-Nya….

MASULIYYAH : LA TANSA

Sunday, February 13, 2011

Dimulakan kalam dengan memuji Yang Maha Agung,

Tidak ada yang selepasnya melainkan Selawat serta Salam buat Kekasih yang dirindui…

KEWAJIPAN MENUNTUT ILMU

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

{Menuntut ilmu adalah satu kefardhuan ke atas setiap muslim}

Mafhum hadis di atas jelas menyatakan kewajipan setiap individu muslim dalam menuntut ilmu.Ilmu adalah aset penting dalam kehidupan seseorang bahkan yang membezakan antara manusia dan haiwan adalah ilmu.Seorang penyair arab pernah berkata di dalam syairnya :

Ilmu membina rumah-rumah yang tiada padanya tiang-tiang

Akan tetapi Kejahilan meruntuhkan rumah-rumah yang padanya kemuliaan

Begitu juga ilmu meninggikan martabat ahlinya sebagaimana maksud firman Allah SWT:

{Niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat}

Dan banyak lagi ayat Alquran yang menunjukkan kepada kepentingan dan kelebihan ilmu.

PERKARA UTAMA ADALAH NIAT

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Saidina Umar Al-khattab,mafhumnya:

{Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niatnya}

Para ulama' telah bersepakat bahawa amalan ibadah seseorang tidak sah melainkan dengan niat yang disertainya.Begitu juga dalam menuntut ilmu,soal niat adalah perkara utama yang harus dititik beratkan oleh penuntut ilmu kerana

1)Perjalanannya untuk menuntut ilmu adalah ibadah berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang mafhumnya : {Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju syurga}

2)Niat adalah punca keberkatan.Menuntut ilmu bukan lah satu perkara mudah apatah lagi untuk mengekalkannya di dada penuntut.Apabila seseorang menuntut ilmu kerana Allah SWT untuk menolong agamaNya maka Insha-Allah akan dipermudahkan urusannya.Begitulah dalam firman Allah SWT yang maksudnya:{Barangsiapa yang menolong Allah maka Allah akan menolongnya".

Ustaz Ahmad Amin daripada Mesir pernah menulis.Dalam tulisannya yang bertajuk 'Risalah untuk Anakku' , beliau mengklasifikasikan penuntut ilmu kepada 3 golongan :

1)Penuntut ilmu yang tidak mempunyai matlamat yang akhirnya akan menyiakan kehidupannya tanpa memperolehi apa-apa ketikamana pulang ke tanah air.

2)Penuntut ilmu yang belajar hanya untuk ijazah semata-mata.Mereka ini sememangnya telah berkembang akal dan bertambah ilmu mereka serta dapat membawa pulang segulung ijazah tetapi malang,hati mereka tidak terbuka untuk mengambil tahu hal lain melainkan ilmu di kuliah sahaja.

3)Penuntut ilmu yang memahami tujuan mereka belajar dan mengambil pengiktibaran dari setiap sudut samada di dewan kuliah, hal ehwal semasa dan budaya masyarakat sekeliling.Mereka ini berjaya di dalam pembelajaran dan kehidupan mereka serta kepulangan mereka bermanfaat kepada masyarakat.

TANGGUNGJAWAB ORANG YANG BERILMU

Di antara orang yang dijerut mukanya di hari akhirat kelak ialah mereka yang mempunyai ilmu tetapi menyembunyikannya dan bagi mereka ini tidak lain tidak bukan Neraka yang dijanjikan.

Hari ini kita melihat terlalu banyak kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat samada masyarakat di Malaysia, Timur Tengah atau di setiap negara. Masalah gejala sosial yang melampau telah mula menghakis satu persatu nilai peradaban manusia yang dahulunya di bangga-banggakan. Contohnya masyarakat Melayu yang terkenal dengan nilai sopan santun, hari ini kita sendiri dapat perhatikan bagaimana perilaku anak-anak muda yang di antara mereka merempit di tengah jalanraya, melepak di kaki lima, merogol tanpa mengenal saudara, merompak, menyamun dan sebagainya. Tidaklah pula harus kita banggakan dengan fakta bilangan anak luar nikah yang telah dilahirkan dalam masa 1 tahun mencecah ribuan bayi.

Malaysia pula yang dikatakan sebuah negara maju harus mengkaji semula apa itu istilah 'kemajuan' yang sebenarnya. Membangunkah sesebuah negara andai pemudanya sudah kehilangan harga diri, sudah ketandusan telaga iman, mula mendahagakan rimbunan ketaqwaan dan melihat Islam seolah-olah fatamorgana yang berada di hadapan?

Tidak perlu bagi ana menulis dan memberi contoh yang banyak sedangkan hakikat sebenar telah dimaklumi oleh kalian para pelajar. Penting untuk ana bicarakan ialah tanggungjawab seorang pelajar dalam memahami matlamat sebenar seseorang itu menuntut ilmu.

Tanggungjawab seorang penuntut ilmu ;

1)Memahami Islam dengan kefahaman yang betul. Ini kerana terlalu banyak pelajar yang menjadi graduan universiti tetapi masih tidak mendapat kefahaman Islam yang sebenarnya. Hasil daripada itu, muncul fahaman-fahaman sesat ataupun menjadi pengikut kepada gerakan-gerakan yang tersasar dari landasan Islam.

2)Mempraktikkan apa yang telah di pelajari. Tanggungjawab yang kedua amatlah sukar untuk dilaksanakan tetapi ianya adalah satu kewajipan yang perlu kita tunaikan selaku seorang insan yang berilmu dan ia juga berkait rapat dengan tanggungjawab yang ketiga.

3)Menyampaikan ilmu kepada orang lain sebagaimana sabda Rasulullah SAW " Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat " .

Bolehkah kita bayangkan seekor ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan ia berjalan bengkok begitulah juga seorang penyampai ilmu yang menyuruh orang lain berbuat kebaikan dan meninggalkan maksiat sedangkan dirinya sendiri melakukan yang yang sebaliknya apakah mad'u akan mengikutinya serta mengikut ajarannya?

Akhir kalam, tulisan ini bukan ingin menunding jari, tetapi mahu masing-masing mengislah diri serta memikirkan sudut mana yang perlu diperbaiki seterusnya mula merentakkan irama perjuangan dalam menegakkan Islam di negara sendiri.

Hayatilah sepotong kata-kata yang dihadiahkan kepada ana dan sahabat-sahabat semasa menuntut di Jamiah Abu Nour yang hingga kini menjadi perangsang diri ;

ان الطبيب يحي روحا واحدا

ولاكن الداعي يحي امة واحدة

" Sesungguhnya seorang doktor mampu menyelamatkan satu nyawa , akan tetapi kalian seorang da'ie mampu menyelamatkan nyawa ummah!! Nyawa UMMAH!!"

Siiru ala barakatillah

Sebarang komentar bolehlah diajukan agar penulis mampu memperbaiki kesilapan.