Luahan S'org Rakyat

Sunday, October 15, 2006

Zaman jahiliyah kembali semula? PDF
Fri | Sep 29, 06 | 11:51:14 AM
Oleh Enaisnor mujahidah

alaysia atau dunia sekarang seolah-olah berputar semula kebelakang walau pun era sekarang terus menerus mengejar kemajuan seperti seolah-olah hendak menggapai 2020. Nah.. sekarang manusia semakin moden, segala-galanya semakin canggih, teknologinya meninggi langit, anak mudanya lepasan IPT, apalagi yang hendak dirisaukan.

Wawasan 2020 impian mantan Perdana Menteri sebelum Pak Lah Hadhari hampir menjadi kenyataan. Tapi sayang berjuta kali sayang, masyarakat semakin moden tetapi iman semakin nipis atau mungkin akal semakin kurang berfikir.

Kalau dulu-dulu seingat-ingat penulis, semasa penulis masih di alam kanak-kanak amalan bersanding menjadi agenda wajib di dalam majlis perkahwinan. Orang ramai sanggup menanti majlis persandingan walau pun dibuat diwaktu malam. Mak cik-mak cik masing-masing membawa "torchlight" untuk menyuluh jalan. Meriah dirasakan semasa itu, lebih-lebih lagi kalau dihiasi dengan ghazal parti atau kugiran.

Bila amalan itu semakin berleluasa, maka tampillah Tok-tok guru serta ustaz-ustaz menegur amalan yang tidak dibenarkan dalam dalam Islam itu.

Alhamdullillah, semakin kurang dan hampir-hampir pupus amalan bersanding di dalam masyarakat kita. Tapi sayang sejuta kali sayang hanya seketika. Kalau kita semua sedar, amalan bersanding sudah mula diperbaharui sekarang ini.

Rata-rata kenduri walimah kini ada menyediakan pelamin dan tentunyalah majlis persandingan itu diadakan. Cuma sekarang ini di "up date" kan dengan trend bertudung.

Hulamak.. semakin ayu dan cantik, bertudung paras dada, dihiasi labuci-labuci berkilau-kilauan, mukanya ditempel dengan warna yang berwarna-warni. "Hai ! kenapa tak boleh pula, kan pengantin perempuan tu.. pakai tudung dan kaum keluarga sahaja yang tengok" bentak seorang perempuan separuh umur bila perbuatan itu ditegur. Hai...mak cik, tak sedarkah, anak mak cik tu walau bertudung tapi bertabaruj, duduk atas pelamin ditontoni kaum keluarga.. berapa orang sangat muhrim si pengantin perempuan tu yang nak "langut" mereka bersanding.

Jadi.. siapa yang nak tengok, melainkan orang-orang yang tidak bekenaan yang akan melihat keayuan pengantin perempuan itu. Bukan setakat itu saja malah sekarang ini majlis kenduri dihiasi dengan lagu-lagu yang melalaikan dengan alasan untuk menceriakan suasana. Wajarkah kita menghalalkan sesuatu yang semakin hampir dengan haram itu berterusan ?

Tuan-tuan guru serta Ustaz-ustaz sekelian, tolonglah ambil perhatian perkara ini, kalau dibiarkan penulis bimbang jahiliyah yang dulu kembali semula dengan secara di " up date"kan mengikut selera masyarakat sekarang.

Adakah dengan hanya pengantin berada di dalam rumah , menutup aurat dengan sempurna, tanpa bersolek, melayan tetamu yang datang maka majlis itu tidak lengkap atau meriah? Jangan kita menyebut "sekali seumur hudup", maka kita harus fikir kalau sepanjang kehidupan kita, kita boleh menjaga syariat Islam kenapa hanya dengan sehari semuanya tergadai.

Seperkara lagi yang penulis ingin ketengahkan ialah mengenai iklan-iklan ditelevisyen yang semakin menjolok mata dan tidak beradab. Contohnya iklan syampu "head and Shoulder" yang terang-terang memperlihatkan kita adegan berasmara sepasang remaja.

Begitu juga iklan -iklan lain yang menonjolkan pergaulan bebas dan keseronokan hidup walau pun hanya iklan jenama coklat. Apakah itu realiti kehidupan remaja kita sekarang ini? Kementerian penerangan perlu ambil perhatian dalam masalah ini kerana kita bimbang corak kehidupan yang dipaparkan mempengaruhi kehidupan remaja kita sekali gus mengundang amalan jahiliyah dihidupkan semula.

Kemasukan filem-filem dari Indonesia yang memperagakan kehidupan yang tidak selari dengan Islam diperlihatkan di kaca televisyen kita. Penulis merasakan seolah-olah perkara sedemikian sengaja diwujudkan demi sebuah kehidupan yang moden.

Penulis bimbang kalau perkara sedemikian dianggap remeh, bala dari Allah akan tiba barulah kita terbeliak biji mata melihat kemungkaran itu kerana bukan perkara yang disentuh oleh penulis sahaja yang berlaku sekarang ini tetapi banyak lagi perkara-perkara mungkar yang seolah-olah mendapat lesen halal untuk melakukan.

Bangunlah dari lena wahai pemimpin Malaysia, jangan hanya sibuk memikirkan laba, membesarkan rumah, membina mahligai perniagaan, berseronok dengan pangkat dan harta, mana dia Islam Hadharimu? Atau mungkin semuanya ini atas restu kalian semua?

Ya.. Allah! selamatkan bumi Malaysia ini dari tangan-tangan jijik yang mengotorkan bumimu yang suci kerana kami bimbang bala dariMu yang datang mencucinya. Fikir-fikirkanlah..

0 Komentar: