Surat Buat Kekasih

Thursday, February 17, 2011

Tangisan yang kadangnya tak mampu mengalirkan airmata. Namun sebaknya terus menggetar jiwa lalu jasad kaku daripada berbicara , semuanya lantaran rindu pada kekasih yang telah lama pergi menemui Sang Pencipta.

Ya Rasulullah…..

Aku adalah di kalangan ummat-Mu yang begitu jauh dinisbahkan kepada putaran masa kehidupan. Berkurun lama sekalian manusia yang hadir selepas pemergianmu turut merasa seksa memikul cinta terhadapmu , menderita dek rindu yang begitu tebal yang tak akan berakhir melainkan pada hari pertemuan denganmu.

Ya Rasulullah…

Aku adalah salah seorang daripada ummat-Mu yang merasa sengsara berada di tengah masyarakat dunia tanpa Engkau di sisi. Aku manusia hina yang menggelar diri sebagai pejuang agama kerana itu wasiatmu padaku. Aku manusia yang penuh dosa, sungguhpun aku tidak layak untuk menyatakan cintaku padaMu ya Rasulallah… Tapi jauh dari sudut hati ini seolah aku ingin menjerit menyuarakan "Aku benar-benar merinduiMu.."

Ya Rasulallah…

Aku pengikutmu yang menyatakan iman…tapi aku sangat jauh dari landasan iman yang sebenar. Amat sedikit amalanku menuruti sunnahmu. Kadang hariku berlalu tanpa berzikir mengingatimu. Sedangkan Engkau ya Rasulallah, mengingati ummat-Mu walaupun di saat kematian. Engkau mengalirkan air mata tatkala mengingati kami ummat akhir zaman.

Ya Rasulallah…

Tidak sepatutnya aku yang menyintai-Mu lupa akan-Mu…

Aku mungkin tidak benar-benar mengerti perasaan Bilal tikamana meninggalkan Madinah kerana tidak sanggup menahan rindu yang mencengkam jiwanya..Aku juga tak mungkin dapat menangis sebagaimana para sahabat meratap pemergian-Mu..dan tak bisa untuk aku berkorban jiwa ragaku sebagaimana golongan muhajirin dan ansar itu mempertaruhkan jasad mereka untuk menjadi santapan pedang-pedang musyrikin.

Aku cuba untuk menjadi seperti mereka…Aku cuba meraih cinta-Mu. Aku cuba menyambut salam rindu dari-Mu.. aku cuba mempertaruh jiwaku untuk meneruskan perjuangan-Mu…Aku cuba menuruti apa kemahuan-Mu...dan harapanku Cuma satu.. iaitu aku dapat bertemu dengan-MU…aku dapat bertemu dengan insan yang benar-benar aku rindu, melebihi rinduku pada kedua ibu bapaku, melebihi rinduku pada teman hidupku, melebihi rinduku pada sahabat-sahabatku….

Ya Rasulallah…

Aku insan yang banyak dosa terhadap kekasih-Mu…Kerapkali aku memohon ampun tapi jawapannya masih belum kunjung tiba. Setelah aku mendapat sedikit ilmu, barulah aku tahu bahawa jiwaku belum benar-benar memohon ampun dan bertaubat pada-Nya. Dia juga memperlihatkan padaku ayat-Nya yang bermaksud :

" Katakanlah wahai Muhammad ; Sekiranya kamu menyintai Allah maka ikutilah aku nescaya Allah akan menyintai kamu…"

Dan Engkau Ya Rasulallah…Engkau wasilah cintaku pada-Nya….

1 Komentar:

muhamad basil isharudin said...

assalamualaikum
segala ucap tahniah saya lontarkan kerana berjaya membuat satu lagi artikel yg hebat,saya menulis disini dengan harapan hanya agar dapat membantu perjuang islam dan tolibul ilm diantara satu sama lain,
kita sebagai pelajar agama ,ni seeloknya perlu lar meletak sumber kita dengan sempurna yg mungkin,apa yg saya dapati artikel saudari,tidak menulis nas hadis didalam bahaa arab,begitu jugak al-quran,hanya menulis mafhum hadis dan terjemahan al-quran,ana rasa kita haruslah mengambil berat ttng perkara ini,
sekian dari saya,hamba yg masih menuntut ilmu.
maaf jika terkasar budi bahasa...